1 Oktober 2026 – Sesi pembungkusan bagi Program Kembara Tengkujuh dan Susur Pulau bersama Nestlé Malaysia telah diadakan di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM). Sebanyak 800 beg makanan berjaya disediakan sebagai persediaan untuk disalurkan kepada komuniti yang memerlukan menerusi kedua-dua program tersebut.
Program kali ini turut menyaksikan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Nestlé Malaysia dan Yayasan Food Bank Malaysia, yang meneruskan kerjasama dalam usaha menyelamatkan lebihan makanan dan menyalurkannya kepada golongan yang memerlukan di seluruh Malaysia. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh usaha keterjaminan makanan serta memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan kepada mereka yang memerlukan.
Turut berlangsung ialah serahan cek cura daripada Nestlé Malaysia kepada Yayasan Food Bank Malaysia bagi menyokong pelaksanaan Program Susur Pulau dan Kembara Tengkujuh, khususnya sebagai persediaan untuk membantu komuniti yang memerlukan ketika musim tengkujuh.
Sesi pembungkusan ini turut disertai oleh YAM Tengku Datin Paduka Setia Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah, Pengerusi Yayasan Food Bank Malaysia; En. Johan Halid, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia; Mr. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia; serta YM Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Nestlé Malaysia.
Turut berganding bahu menjayakan sesi ini ialah para sukarelawan daripada Nestlé Malaysia dan Puspanita Kementerian Kerja Raya Malaysia, yang bersama-sama membantu memastikan proses pembungkusan berjalan lancar.
Yayasan Food Bank Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAM Tengku Zatashah, Nestlé Malaysia, Puspanita KKR serta para sukarelawan atas sokongan, keprihatinan dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan usaha bersama ini.
Semoga kerjasama yang terjalin terus diperkukuh dalam usaha memastikan lebih banyak bantuan dapat disampaikan kepada komuniti yang memerlukan.
Berpakat Bantu Masyarakat.












