19 Oktober 2026 – Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) meneruskan Program Susur Pulau 2026 dengan sokongan dan sumbangan daripada Public Bank Berhad. Pada hari kedua misi, pasukan YFBM dibahagikan kepada dua kumpulan bagi melaksanakan penyerahan bantuan kepada komuniti pulau di sekitar Mersing, Johor.
Kumpulan pertama meneruskan misi ke Pulau Sibu dengan penyerahan bantuan makanan asas kepada 56 Ketua Isi Rumah (KIR) di Jeti Pulau Sibu. Bantuan ini bertujuan membantu komuniti setempat membuat persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, khususnya apabila keadaan cuaca dan laut boleh menjejaskan akses kepada bekalan keperluan harian.
Program dimulakan dengan ucapan aluan dan bacaan doa, diikuti taklimat keselamatan oleh Maritim Malaysia serta ucapan Encik Johan bin Halid, Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, sebelum sesi penyerahan bantuan dilaksanakan.
YFBM merakamkan penghargaan kepada Public Bank Berhad atas sumbangan dan sokongan dalam menjayakan misi ini. Terima kasih juga kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari Rompin dan Pekan atas bantuan logistik darat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atas sokongan logistik dan pengangkutan laut.
Penghargaan turut diberikan kepada sukarelawan Skuad Al Basith dan APM Wilayah Persekutuan atas komitmen dan kerjasama sepanjang misi ini. Kerjasama semua pihak membantu memperkukuh kesiapsiagaan komuniti pulau menjelang musim tengkujuh.
Berpakat Bantu Masyarakat




