27 Oktober 2026 — Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) meneruskan kolaborasi bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Program Sentuhan Kasih Zakat MAIWP 2026. Seramai 150 penerima telah menerima bantuan makanan asasi di Surau Al Muttaqin, PPR Pekan Kepong, Kuala Lumpur. Program ini sekaligus menjadi lokasi PPR terakhir bagi pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Zakat MAIWP 2026.
Inisiatif ini merupakan usaha berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan melalui penyaluran bantuan makanan serta sokongan kepada komuniti setempat. Selain penyerahan bantuan, program ini turut menyediakan sesi saringan kesihatan oleh Klinik As Salam serta perkhidmatan salon bergerak khusus untuk penerima wanita.
Turut hadir ialah Ketua Pusat Agihan Zakat Batu, Encik Abdul Rashid bin Abd Aziz, Pengerusi Surau Al Muttaqin, PPR Pekan Kepong, Ustaz Syed Azlan bin Syed Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi YFBM, Puan Puteri Fazlieznoor binti Yahaya, serta ahli jawatankuasa surau dan warga kerja YFBM.
YFBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MAIWP, Pusat Agihan Zakat (PAZA), para penyumbang zakat, ahli jawatankuasa surau, para sukarelawan dan komuniti setempat atas kerjasama serta komitmen dalam menjayakan program ini.




