KERAJAAN akan perluaskan Program Food Bank Siswa ke semua pusat pengajian tinggi swasta, kolej komuniti, sekolah agama dan institut pendidikan guru di seluruh negara bermula tahun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu akan dilaksanakan selepas kerajaan selesai melaksanakan program food bank terbabit di semua 20 universiti awam (UA) di negara ini hingga akhir tahun ini.
Menurutnya, program berkenaan dijangka dimanfaatkan lebih 20,000 penuntut kurang berkemampuan di seluruh 20 UA hingga Disember depan.
“Alhamdulillah, setakat ini program ini berjalan lancar dan ia bukan program bermusim tetapi berterusan. Kita akan teruskan ke institusi pengajian tinggi swasta, kolej komuniti, sekolah agama dan institut pendidikan guru kerana ini semua dalam pemantauan kita.
“Kita yakin program ini akan menjadi satu gerakan sukarelawan yang baik dalam kalangan penerima dan dalam masa sama dapat mendidik untuk mengelakkan pembaziran makanan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) 2019 dan pelancaran Food Bank Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus, hari ini.
Food Bank Siswa UnisZA mensasarkan 200 penuntut yang dikenal pasti daripada golongan B40 untuk mendapat manfaat daripada program berkenaan yang turut menerima sumbangan Primula Beach Hotel, Harolds Bread (M) Sdn Bhd dan Pasaraya Xiri Sdn Bhd.
Setakat ini, Food Bank Siswa sudah dilancarkan di beberapa UA iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Universiti Malaya dan Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur; Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor dan Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor.
Saifuddin berkata, sejak dilaksanakan sebanyak 430 syarikat, pasar raya dan hotel menyumbangkan bantuan makanan untuk program berkenaan dan dijangka akan terus meningkat bersandarkan sambutan dan sokongan baik terhadapnya.
Beliau berkata, Food Bank Siswa diwujudkan hasil daripada kejayaan Program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu yang sehingga kini sudah memberi manfaat kepada 37,000 individu dari kumpulan B40 di seluruh negara.
Sumber: Harian Metro