YFBM, NESTLÉ MALAYSIA DAN YAYASAN YARA SALUR BANTUAN AWAL TENGKUJUH KEPADA PENDUDUK PULAU DI MERSING

  • Post author:
  • Reading time:5 mins read
Mersing, 28 Oktober 2025 – Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dengan kerjasama Nestlé Malaysia dan Yayasan Yara telah melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Susur Pulau 2025 dari 26 hingga 28 Oktober 2025, merangkumi empat pulau utama di daerah Mersing iaitu Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Sibu.
 

Misi ini menyalurkan bantuan makanan kepada 180 ketua isi rumah, yang terdiri daripada komuniti nelayan dan penduduk pulau yang tinggal jauh dari tanah besar serta kekangan akses kepada bekalan asas, khususnya menjelang musim tengkujuh.

Misi ini dilaksanakan dengan sokongan rakan strategik operasi iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi penyelarasan logistik laut, manakala Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu dari segi logistik darat.
 
Operasi laut diketuai oleh Komander (M) Suhaizan Saadin, Pengarah Zon Maritim Mersing, yang mengetuai pergerakan konvoi kapal serta penyelarasan keselamatan sepanjang tempoh misi.
 
Turut serta dalam misi kali ini ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YFBM, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, serta Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, En. Johan Halid, bersama-sama 19 orang sukarelawan YFBM yang sama-sama turun padang menyerahkan bantuan dan menyantuni komuniti setempat.
 
Misi Bantuan Kemanusiaan Susur Pulau merupakan inisiatif tahunan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) yang memberi tumpuan kepada komuniti di pulau-pulau terpencil di perairan Malaysia. Setiap tahun, apabila musim tengkujuh bermula, keadaan laut yang sangat bergelora mengakibatkan penduduk pulau terputus bekalan makanan kerana mereka tidak dapat keluar merentasi laut untuk mendapatkan keperluan asas dari tanah besar. Bagi menangani isu ini, YFBM melalui Misi Susur Pulau menyalurkan bekalan makanan kering mencukupi untuk tempoh dua bulan bagi setiap keluarga, memastikan mereka tidak terkesan akibat gangguan logistik dan cuaca ekstrem.
 
Selain bantuan makanan, misi ini turut membawa mesej kemanusiaan dengan menghubungkan pelbagai pihak daripada sektor awam, korporat dan sukarelawan dalam semangat solidariti dan kasih sayang rakyat Malaysia terhadap komuniti yang terpencil.
 
@yayasanyara
 

DONATE