SEMENYIH, 3 Mac 2026 – Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) bersama Dunkin’ Malaysia sekali lagi menganjurkan Program Bubur Lambuk Setulus Kasih Ramadan yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.
Tahun ini, sebanyak 2,000 pek makanan yang mengandungi bubur lambuk, donat, kurma dan air minuman telah diagihkan kepada masyarakat di sekitar Lembah Klang termasuk di LRT Taman Jaya, MRT Ampang Park dan MRT Putrajaya Sentral. Program ini bertujuan menyemarakkan semangat gotong-royong dan solidariti sepanjang bulan Ramadan, di samping memperkukuh kerjasama strategik antara YFBM, Dunkin’ Malaysia serta pelbagai agensi dan sukarelawan yang terlibat.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta barisan kepimpinan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), PUSPANITA KPM, wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pihak pengurusan tertinggi Dunkin’ Malaysia. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Encik Johan Halid bersama para sukarelawan daripada pelbagai jabatan dan agensi yang bersama-sama menjayakan program ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Encik Johan Halid, “Program ini bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi juga menyatukan komuniti, memupuk nilai prihatin dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.”
Dengan tema Setulus Kasih Ramadan, YFBM dan Dunkin’ Malaysia berharap inisiatif ini terus menjadi platform menyebarkan kebaikan dan merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat sepanjang Ramadan.
Berpakat Bantu Masyarakat.
















