23 Januari 2025 – Mrs Malaysia International World 2024, Leong Zhi Qian, telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) melalui kutipan dana yang dijalankan baru-baru ini. Penyerahan ‘mock cheque’ kepada Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, En. Johan Halid, berlangsung dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Datin Sharon Too, Pengasas MMW Group of Pageant Management, dan Evelyn Gan, Ketua Pegawai Operasi MMW Group of Pageant Management.
Dana yang diterima akan digunakan untuk program ‘Kindness Basket’, yang dijadualkan pada 2 Februari 2025. Program ini bertujuan mengagihkan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, dan makanan dalam tin kepada keluarga berpendapatan rendah, selari dengan misi YFBM untuk menangani isu kekurangan makanan di Malaysia.
Kerjasama ini menonjolkan sokongan padu MMW Group bersama YFBM dalam memperkasakan komuniti memerlukan dan menyeru lebih ramai pihak untuk bersama-sama membantu menangani isu sosial yang kritikal.